DEFINISI KOMPETENSI KEUSAHAWANAN
Kompetensi keusahawanan bermaksud kemampuan diri seseorang untuk
melaksanakan fungsi-fungsi keusahawanan dengan lebih berkesan
bersesuaian dengan tugasnya sebagai seorang usahawan.
KOMPETENSI KEUSAHAWANAN
Berikut
ini disenaraikan kompetensi keusahawan diri terhadap usahawan-usahawan
berjaya yang mana dianggap penting dari sudut nilai-nilai keusahawanan,
sikap dan motivasi keusahawanan.
1.Berinisiatif
Daya
inisiatif adalah satu daripada kompetensi keusahawanan yang paling
penting kerana dengan ciri ini beliau akan mempunyai kecenderungan untuk
melihat dan menganalisis sesuatu situasi atau keadaan dengan cekap.
Hasil daripada sikap tanpa menunggu diarahkan atau dipaksa melakukan
sesuatu untuk kejayaan sendiri, individu yang berinisiatif itu dapat
melihat perkara-perkara yang perlu dilakukan melalui intuisi dan
imiginasinya. Sikap ini akan membawa usahawan tersebut selangkah lebih maju dari orang lain.
2.Melihat dan Merebut Peluang
Kejayaan
seseorang usahawan banyak bergantung kepada kemampuannya melihat dan
merebut peluang-peluang yang wujud di sekitarnya. Kata-kata hikmat yang
penting kepada seseorang usahawan ialah peluang mesti dicari, ianya
tidak diberi. Peluang-peluang perniagaan boleh wujud hasil daripada
perkara-perkara seperti permintaan yang tidak dapat dipenuhi oleh
usahawan lain, kewujudan teknologi baru, kemahiran yang wujud dalam
persekitaran, sumber-sumber alam yang belum diterokai dan halacara baru
dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan.
3.Kecekalan
Liku-liku
hidup seorang usahawan adalah kompleks. Usahawan perlu mengharungi
berbagai-bagai halangan dan masalah perniagaan. Untuk itu, usahawan
perlu mempunyai ketabahan dan kecekalan diri yang tinggi. Sikap
seseorang yang cekal iaitu berusaha berulangkali atau mencari jalan
untuk mengatasi rintangan-rintangan yang menghalang pencapaian maklumat.
4.Mencari Maklumat
Kejayaan
atau kegagalan sesebuah syarikat banyak bergantung kepada mutu maklumat
yang diperolehi, secukup mana maklumat itu dikumpul dan cara maklumat
tersebut digunakan dalam membuat keputusan. Usahawan yang sensitif
kepada maklumat akan mempelajari dan mengambil ikhtibar dari apa jua
bentuk maklum balas yang diperolehi samada dalam bentuk kritikan dari
orang lain atau dari hasil perbuatannya sendiri.
5.Menitikberatkan Mutu Kerja Yang Tinggi
Seseorang
usahawan tulin akan sensitif dan sentiasa menitikberatkan mutu dan
piawaian penghasilan kerja atau perkhidmatan mereka. Usahawan
tidak melakukan kerja semata-mata untuk menyelesaikan tugasnya tetapi
melalui kerjanya ia akan mencari kepuasan dengan tahap pencapaian yang
cemerlang dan bermutu. Hanya dengan kerja-kerja yang bermutu, usahawan
itu dapat meluaskan pasarannya dan meningkatkan lagi prestasi serta imej
syarikat dan dirinya.
6.Komitmen Terhadap Perjanjian Kerja
Usahawan
perlu mempunyai sikap menepati perjanjian kerja dengan menunjukkan
usaha yang berlebihan dan melakukan pengorbanan peribadi untuk
menyelesaikan sesuatu kerja. Usahawan yang berjaya dapat menarik
kepercayaan pelanggan melalui sikapnya yang sentasa menepati janji.
Kepercayaan pelanggan adalah kunci kepada kestabilan sesebuah syarikat.
7.Berorientasi Ke Arah Kecekapan
Seseorang
usahawan yang berdaya maju akan sentiasa mencari jalan untuk
meningkatkan produktiviti syarikat dan dirinya sendiri. Peningkatan
produktiviti bermakna membuat pengeluaran atau memberikan perkhidmatan
dengan kos yang lebih menjimatkan atau dengan masa yang lebih pantas
tanpa menjejaskan prestasi pengeluaran. Hanya dengan cara ini,
pembaziran dapat dielakkan. Individu yang menitikberatkan kecekapan diri
atau syarikatnya akan mencuba sedaya upaya menggunakan maklumat
perniagaan atau kaedah pengurusan yang baik untuk membetulkan tahap
kecekapan syarikat dari aspek penggunaan bahan mentah, modal, tenaga manusia, mesin dan jentera serta teknologi.
8.Membuat Perancangan Yang Sistematik
Seseorang
usahawan perlu membuat perancangan yang sistematik dengan merancang dan
mengatur langkahnya dengan membahagi-bahagikan tugas atau kerja yang
besar kepada tugas yang lebih kecil dan mudah. Mewujudkan rancangan yang
dapat mengatasi rintangan-rintangan yang dijangkakan.
9.Menyelesaikan Masalah
Alam
perniagaan penuh dengan pelbagai masalah. Usahawan yang inginkan
kejayaan perlu mampu menyelesaikan masalah dengan cara mencari dan
melahirkan idea-idea baru atau penyelesaian masalah secara inovatif. Di
samping itu mereka perlu mewujudkan strategi-strategi alternatif yang
lebih cekap dan lebih baik untuk mencapai matlamat perniagaan.
10.Keyakinan Diri
Usahawan
perlulah mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri dan menunjukkan
sikap yakin terhadap kemampuan diri dalam membuat keputusan atau dalam
menyahut sesuatu cabaran. Individu tersebut juga perlu berpendirian terhadap apa yang sedang dilakukan.
11.Ketegasan
Sikap
individu yang tegas ialah sanggup menyuarakan sesuatu masalah kepada
orang lain secara langsung dan mengambil tindakan walaupun menghadapi
banyak tentangan daripada pihak lain.
12.Meyakinkan Orang Lain
Fungsi
utama seorang usahawan ialah mempengaruhi keadaan persekitarannya.
Persekitaran usahawan termasuklah individu-individu atau
institusi-institusi. Usahawan berurusan dengannya untuk menggerakkan
sumber-sumber organisasi, mendapatkan bahan mentah, mengelolakan proses
pengeluaran dan perkhidmatan. Kesemua aktiviti tersebut memerlukan
kemahiran untuk memujuk dan meyakinkan orang lain. Tanpa kemampuan
tersebut, usahawan akan gagal mempengaruhi pelanggan atau pembekal untuk
memberi sokongan kepada perniagaannya.
13.Menggunakan Strategi Pengaruh
Usahawan
sebagai pemmpin mesti mempunyai kecenderungan untuk memikirkan
strategi-strategi yang boleh mempengaruhi orang lain tanpa tipu helah
dalam mencapai matlamat perniagaan.
14.Bermatlamat dan Berwawasan
Usahawan perlu mempunyai wawasan yang jauh dan mewujudkan matlamat yang jelas dan boleh diukur pencapaiannya. Beliau
harus peka kepada kemampuan sendiri dan mengenalpasti halangan dalaman
dan luaran supaya halangan-halangan tersebut dapat diatasi.
15.Bertenaga
Usahawan
yang bertenaga adalah usahawan yang sanggup bekerja di waktu-waktu
luarbiasa dan sanggup mengorbankan waktu rehat apabila tugas-tugas
keusahawanan memerlukan mereka.
No comments:
Post a Comment