Usahawan
merupakan pemangkin kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi sesebuah
negara. maju dan mundur ekonomi sesebuah negara adalah bergantung
kepada usahawan yang dinamis dan berpandangan jauh. Mereka
adalah individu yang unik dan berbeza dengan insan biasa. Ciri-ciri
keusahawanan yang ada pada individu usahawan berupaya membangunkan bukan
sahaja diri usahawan sendiri, tetapi juga bertanggungjawab kepada
pembangunan masyarakat dan negara. Malah hasil usahawan mampu memberi
kesejahteraan kepada masyarakat seluruh dunia. Ini adalah kerana
usahawan merupakan daya penggerak yang mewujud, memulakan dan sentiasa
berusaha memperkembangkan sesuatu usaha teroka yang diceburi. Jesteru
itu mereka dapat mencipta pekerjaan kepada penduduk sesebuah negara. Ini
seterusnya dapat mengatasi atau mengurangkan masalah pengangguran
negara. Usahawan juga berperanan untuk meningkatkan pendapatan dan
meninggikan taraf hidup masyarakat secara keseluruhan.
Secara ringkasnya bolehlah dikatakan bahawa usahawan itu berperanan seperti berikut:-
· Menyumbangkan Idea dan Pembaharuan
Dalam konteks perhubungan usahawan dengan firmanya, usahawan adalah sumber utama idea dan pembaharuan. Idea
dan pembaharuan tidak semestinya terlalu unik, peningkatan daripada
idea yang sedia ada juga merupakan sesuatu yang bernas. Untuk memainkan
peranan ini usahawan harus sentiasa berpemerhatian dan berfikiran
terbuka.
· Merancang
Daripada
idea dan penyerlahan peluang, usahawan merancang. Perancangan strategik
harus mengambilkira apa yang ada, yang tiada dan yang bakal ada. Perancangan menentukan apa yang diperlukan. Oleh itu penggembelingan faktor pengeluaran, harta, tenaga dan modal harus menyusul.
· Mengurus / Mengeluar / Mengedar / Menanggung Risiko
Sumber-sumber
seterusnya diurus, dikeluarkan hasil dalam bentuk barangan atau
perkhidmatan dan diedar. Penentuan hasil pengeluaran dan sasaran pasaran
amat penting. Sepanjang usaha usahawan itu, dari mula terbitnya idea
hingga ke penawaran barangan atau perkhidmatan, ianya tidak dapat lari
dari berbagai ketidakpastian dan inilah yang dikatakan risiko. Sebaik
mana sekalipun perancangan, kekuasaan manusia memang terbatas.
Risiko-risiko yang banyak dan kadang-kadang tidak terduga adalah menjadi
tanggungan usahawan.
· Menawarkan Peluang Pekerjaan
Usahawan
menawarkan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja yang sesuai. Dengan
ujudnya industri dari pihak usahawan secara tidak langsung memberi
peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan kesannya kadar
pengangguran semasa akan menurun.
· Menyediakan Pilihan Dan Penawaran Serta Memenuhi Kehendak Pengguna
Penggunaan
tenaga kerja yang bersesuaian dan peningkatan kemahiran tenaga kerja
dari masa ke semasa akan mempertingkatkan produktiviti. Hasilnya
usahawan dapat pula menyediakan pilihan dan penawaran yang lebih banyak
dan lebih baik kepada pengguna. Pengguna mempunyai citarasa yang
pelbagai dan adalah menjadi tugas seorang usahawan untuk memenuhi
kehendak dan keperluan tesebut
· Menyumbang kebajikan dan kepimpinanan
Memenuhi
keperluan asas masyarakat akan menyumbang ke arah peningkatan
kebajikan masyarakat. Sumbangan peribadi dalam bentuk derma, zakat dan
sebagainya juga merupakan bentuk kebajikan. Dalam memainkan
peranan-peranannya, usahawan sesungguhnya menunjukkan kepimpinannya.
Peluang kepimpinan tidak semestinya dalam dunia perniagaan semata-mata.
Kepakaran dan pengalaman usahawan juga diperlukan dalam pendidikan,
pentadbiran negara dan sosial.
No comments:
Post a Comment