Thursday, 14 November 2013

Usahawan trio tiga adik beradik



KRU

Beralih kepada usahawan yang ketiga, nama trio tiga adik beradik ini sudah memang tersangat dikenali diseantero Asia. KRU. Tiga aksara yang melambangkan kesungguhan, muzik, inovasi dan teknologi tiga artis Melayu yang boleh dibanggakan. Kumpulan yang sudah lebih sedekad membabitkan diri dalam perniagaan berkisarkan muzik ini bijak menggunakan segala peluang yang ada untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri seni.
Kejayaan mengukir nama dalam dunia seni suara turut memberi kesan kepada penghasilan filem termasuk aspek pentadbiran dan penerbitan. Malah sejak akhir-akhir ini Kru sibuk mengukuhkan kedudukan mereka untuk menjadi satu jenama di medan antarabangsa. Semua syarikat milik mereka disatukan di bawah satu entiti di beri nama KRU STUDIOS, malah sudah mempunyai cawangan di luar negara.
Perkembangan positif dalam dunia perniagaan bukan saja membanggakan tiga beradik itu malah kalangan yang mengikuti kemajuan kerjaya seni mereka. Perkara itu turut dikongsi semua pihak. Dek kesibukan dan urusan perniagaan yang semakin berkembang, syarikat yang berpusat di Setiawangsa ini sudahpun mengalihkan operasinya ke Cyberjaya tidak lama lagi.
KRU bermula dari bawah, mereka mendaki setiap anak tangga untuk menuju ke puncak dan yang paling penting, mereka tidak menunggu peluang, mereka menciptanya! Pada peringkat awal perniagaan pada 1992, mereka hanya menyewa bilik kecil. Kakitangannya, adalah Norman Abdul Halim, vokalis KRU dan ibu. Apabila perniagaan mereka sudah berkembang, mereka berpindah ke Setiawangsa seterusnya membeli blok perniagaan itu pada 1996 dan 1997. Disebabkan pejabat di Setiawangsa yang agak padat dengan jumlah pekerja yang semakin ramai dan pelbagai perancangan yang sedang giat diatur, pihak pengurusan KRU iaitu mereka sendiri bertekad untuk berpindah ke sebuah lokasi yang lebih selesa. BERKELUASAN 15.39 ekar di atas sebidang tanah di Cyberjaya, KRU Studios dilengkapi pelbagai kemudahan canggih untuk tujuan penerbitan, ia dilihat sebagai simbol kejayaan kepada KRU yang ditunjangi tiga beradik popular, Norman Abdul Halim, Yusry Abdul Halim serta Edry Abdul Halim.
Bangunan tersebut dilengkapi dengan studio penerbitan audio, studio suntingan, studio pengimejan digital dan studio animasi visual kesan khas. Selain itu, ia juga menyediakan dua pentas persembahan yang masing-masingnya berkeluasan 2,500 dan 10,000 kaki persegi untuk tujuan persembahan konsert dan rakaman program-program televisyen. Selain itu, ia juga menyediakan bilik-bilik serbaguna seperti bilik pakaian, bilik solekan serta bilik untuk artis.
Tak cukup dengan itu, KRU Studios turut tidak lupa untuk menyediakan ruang untuk set penggambaran luar terutama untuk perfileman, ruang pejabat untuk disewa oleh syarikat produksi yang bukan sahaja daripada bidang filem malah pengiklanan. Dan yang paling utama, KRU Studios mampu berbangga apabila studionya di Cyberjaya turut menawarkan sistem penataan kesan khas dan imej janaan komputer (CGI) yang kini banyak digunakan dalam industri penerbitan.
Bidang muzik telah mereka kuasai. Feminin, Elite, Adam AF2, Dafi, Innuendo, Ezzlyn-semua adalah artis rakaman KRU yang rata-ratanya Berjaya di arena muzik tanah air. Kini, KRU lebih menumpukan kepada bidang filem, sesuatu yang mereka memang ingin terokai dari umur remaja lagi. Dengan adanya KRU Studios ini, KRU merancang untuk menghasilkan 12 buah filem dalam setahun dan menggiatkan penghasilan penerbitan-penerbitan lain. Meskipun Thailand dan beberapa negara rantau Asia memiliki teknologi HD, KRU Studios menawarkan perkhidmatan yang jauh lebih murah di samping lokasinya strategik.
KRU sememangnya artis yang tidak pernah kenal erti BEREHAT. Buktinya, mereka telah pun menghasilkan sebuah dokumentari berorientasikan budaya tempatan untuk pasaran luar. Dokumentari itu berkisar tentang keris, wau, batik dan kehidupan masyarakat Bajau Laut serta penduduk Portugis di Melaka. Yang membanggakan ialah dokumentari itu telah berjaya dipasarkan di 22 buah negara dan ada dokumentari terbabit berjaya memenangi anugerah dalam satu majlis penganugerahan di Bali, Indonesia tahun lalu.
Kejayaan Norman bersama dua adiknya, Yusry dan Edry adalah berdasarkan usaha mereka membina perniagaan sejak 1992 dari modal sebanyak RM2,000 sahaja. Tetapi kini, mereka sudah ada aset bernilai jutaan ringgit termasuk bangunan sendiri yang berharga RM4.8 juta. Norman, 36 tahun, ialah Presiden dan Ketua Eksekutif kepada syarikat KRU Capital Sdn Bhd yang mempunyai 6 anak syarikat iaitu KRU Music Group, KRU Publishing, KRU Communications, KRU Films, KRU Media dan KRU Matrix. KRU Capital juga telah mengembangkan sayapnya ke Amerika Syarikat dan Singapura dengan penubuhan KRU America Inc. dan KRU Singapura Pte Ltd.

No comments:

Post a Comment