Thursday, 14 November 2013

Usahawan Selebriti Wanita di Malaysia



Fasha Sandha

Usahawan artis wanita yang amatlah popular. Hampir semua rangkaian TV baik yang percuma mahupun yang berbayar selalu menayangkan wajah jelita beliau. Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 27, yang selama ini dikenali sebagai pelakon popular menerusi filem dan drama bersiri televisyen kini menambah satu lagi portfolio dirinya. Daripada gelombang seni, wanita cekal itu menjana satu transformasi besar. Fasha kini adalah Pengarah Urusan Chinta Hair Salon & Beauty.
Beroperasi sekitar hujung Februari 2011, salun kecantikannya menawarkan perkhidmatan daripada memotong, mewarna hinggalah meniup kering rambut. Di samping itu, salun tersebut turut menawarkan khidmat urutan, bengkel solekan dan rawatan wajah. Fasha juga berhasrat menjadikan salun tersebut sebagai pusat sehenti dalam berkongsi maklumat mengenai kecantikan dan penampilan dengan wanita-wanita yang meminati skop yang serupa.
Mesti ramai yang mengganggap artis popular seperti beliau mudah sahaja untuk menyimpan modal untuk dibuatberniaga. Sebenarnya tidak! Selama setahun Fasha tidak menuruti nafsu membeli-belah semata-mata mahu menyimpan wang untuk pelaburan bisnesnya. Bukan senang untuk dilakukan oleh seorang artis wanita popular!
Tetapi kenapa namanya Chinta? Kata Fasha, Chinta diambil sempena nama watak dalam drama terbarunya yang bermaksud seorang gadis yang sungguh bertuah kerana dirinya tak lekang dengan kasih dan sayang. Justeru, beliau inginkan salunnya mempunyai aura yang sama antara beliau dengan para pelanggan yang berkunjung. Disebabkan pengaruh yang sangat mendalam terhadap drama itu, Fasha meronakan warna ungu dan putih pada dekorasi salunnya. Tema warna yang sama digunakan pada montaj drama berkenaan. Bagi rekaan dalaman yang dilihat begitu sofistikated pula, ideanya digembleng bersama ahli keluarga.
Chinta menggunakan khidmat jurusolek terkenal, Mohd. Shahrul Azlan Abd. Rauf, 32, yang dikenali sebagai Deq Sha. Deq Sha yang pernah menata rias nama-nama besar seperti Liyana Jasmay dan Scha Al-Yahya telah bekerjasama dengan Fasha sejak pelakon itu berusia 18 tahun.
Fasha juga melantik pendandan rambut kegemarannya, Connie untuk memberi sentuhan gaya yang dikehendaki para pelanggannya. Selain itu, empat stafnya yang lain turut memiliki segala kemahiran tentang salun.
Walaupun ini perniagaan pertama Fasha, pertaruhan kepada bisnes tersebut bukan satu eksperimen. Sedar bahawa dirinya kosong dengan pengalaman, Fasha Sandha yang lakonannya memang boleh meruntun jiwa sesiapa sahaja tidak segan bertanya kepada mereka yang telah melalui asam garam dan jatuh bangun dalam bisnes.
Demi Chinta, usahawan muda itu akan mengurangkan masa berlakonnya. Katanya, dia tidak sabar untuk mengikuti kursus kecantikan selama enam bulan di salah sebuah institut untuk menajamkan skilnya. Jadi, kepada sesiapa yang bertuah, mungkin mereka berpeluang mendapat sentuhan seorang yang bernama Fasha Sandha!
Dan seperti yang dijangka,salun yang terletak di Wangsa Maju itu bukan sahaja dikunjungi oleh rakan artis malah turut menjadi tumpuan orang ramai. Kebanyakan yang datang membuat rawatan spa atau rambut akan datang lagi kerana rata-rata mereka berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi oleh tiga orang kakitangannya, Zetty, Ewin dan Mario.
Salun yang beroperasi setiap Selasa hingga Ahad dari pukul 11 pagi hingga 9.30 malam itu turut menerima sentuhan istimewa Fasha. Beliau berada di salun empat kali seminggu, biarpun sibuk dengan penggambaran. Memandangkan bisnenya berjalan lancar, beliau bercadang untuk membuka dua lagi cawangan Chinta. Satu di Johor Bahru, tempat kelahiran saya dan Perlis. Selain mengutamakan keselesaan pelanggan, Salun Chinta juga amat menitik beratkan soal keselamatan. Fasha sanggup mengeluarkan bajet lain untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV), sistem amaran dan mengupah seorang pengawal keselamatan mengawasi premisnya.

No comments:

Post a Comment